
KUALA LUMPUR, 28 Oktober – Pindaan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) bakal memperkukuh mekanisme penetapan gaji permulaan graduan berdasarkan kelayakan pendidikan.
- Mengelakkan manipulasi syarat jawatan oleh majikan untuk mengelak pembayaran pada kadar gaji yang ditetapkan.
- Majikan tidak boleh sewenang-wenangnya menidakkan jawatan berdasarkan kelayakan pekerja.
- Jabatan Tenaga Manusia menilai latihan berdasarkan NOSS, penglibatan industri, keseimbangan teori dan praktikal serta latihan tempat kerja.
- MPGN kemas kini garis panduan gaji pokok permulaan ikut MASCO; terbit bersama Perintah Gaji Minimum Jun 2027, RM2,500.
Ini sekali gus mengelakkan manipulasi syarat jawatan oleh majikan bagi mengelak pembayaran pada kadar yang ditetapkan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata pindaan itu akan memasukkan elemen kelayakan tahap pendidikan bagi membolehkan penetapan gaji minimum graduan diwajibkan pada masa hadapan.
“Apabila elemen ini telah dimasukkan, maka pihak majikan tidak boleh dengan senang atau sewenang-wenangnya menidakkan jawatan berdasarkan kelulusan (kelayakan) pekerja yang di bawah syarikat itu”, katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor di Dewab Rakyat.
Tambahnya, Jabatan Tenaga Manusia (JTM) menilai keberkesanan program latihan melalui beberapa aspek.
Ini termasuk, kesesuaian standard dan kandungan latihan dengan keperluan industri, penggunaan lebih 2,000 Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) sebagai asas pembangunan kurikulum serta penglibatan industri dalam pelaksanaan latihan.
Penilaian itu turut mengambil kira keseimbangan teori dan praktikal, latihan di tempat kerja, peningkatan kemahiran dalam teknologi baharu serta keupayaan pekerja menyesuaikan diri dengan perubahan tugas dan teknologi semasa.
Datuk Khairul Firdaus turut memaklumkan, Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) sedang mengemas kini garis panduan gaji pokok permulaan berdasarkan Kerangka Pengelasan Pekerjaan Malaysia (MASCO).
Garis panduan itu akan diterbitkan bersama pelaksanaan Perintah Gaji Minimum baharu yang berkuat kuasa mulai Jun 2027, merangkumi gaji pokok permulaan RM2,500 sebulan bagi graduan dan pekerja separuh mahir seperti diumumkan menerusi Belanjawan 2027.