KUALA LUMPUR, 22 April - Sebagai persiapan ke Sukan SEA 2021 Hanoi Mei depan, kontinjen negara diingatkan supaya tidak sewenang-wenangnya menjadikan COVID-19 sebagai alasan untuk menutup kegagalan membawa pulang pingat.
Perkara itu ditegaskan Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Nur Azmi Ahmad.
Beliau mahu semua atlet dan pegawai memberi keutamaan terhadap aspek keselamatan dan kesihatan sekali gus mengurangkan risiko dijangkiti wabak tersebut.
Nur Azmi turut berharap kem negara mampu mencapai sifar kes COVID-19 disepanjang temasya dwi tahunan itu berlangsung pada 12 hingga 23 Mei nanti.
Ini bagi memastikan barisan atlet negara dapat memberi fokus dan bertanding pada tahap prestasi terbaik, seterusnya membantu Malaysia untuk mencapai sasaran 31 pingat emas.
(Nur Azmi ditemui pemberita)
"Kita tidak mahu bagi alasan untuk kita tidak dapat pingat. Kalau nak jadi juga (dijangkiti) kita tidak boleh buat apa. Tetapi mereka kena segera pulih dan saya rasa bagi seorang ahli sukan itu tidak ada masalah. 31 pingat emas juga tidak begitu menjadi masalah, kita berdoa tiada kes COVID-19 melibatkan atlet kita," kata Nur Azmi di sini.
Beliau menambah pihaknya bersama Majlis Olimpik Malaysia, Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara turut merancang membuka ‘hospital mini’ di Hanoi bagi menempatkan dan memantau atlet yang dijangkiti COVID-19.
Pada edisi kali ini, Kontinjen Malaysia dibarisi 883 orang terdiri daripada 64 atlet dan 279 pegawai.
Sasaran awal ditetapkan adalah 79 pingat merangkumi 31 emas, 19 perak dan 29 gangsa.
Dalam pada itu Nur Azmi turut berkata, Malaysia meletakkan sasaran membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat emas dalam acara boling di Sukan SEA Hanoi bulan depan.
Menurutnya sasaran itu dianggap realistik memandangkan kem boling negara hanya menghantar skuad kedua terdiri daripada pemain muda yang akan membuat penampilan kali pertama di temasya berkenaan.
"Insyaallah saya percaya kita dapat sekurang-kurangnya satu pingat emas dalam acara boling. Saya percaya dengan atlet muda ini kita mungkin dengan semangat, dengan peluang mereka mewakili negara sudah tentu mereka mahu lebih dari satu pingat emas dan kita tengok pada hari kejadian nanti," kata Nur Azmi.
Tambahnya, keputusan menghantar skuad kedua ke temasya berkenaan juga amat tepat bagi meningkatkan lagi kemahiran mereka secepat mungkin.
Pada edisi 2019 di Manila, kem boling negara berjaya menyumbang tujuh pingat iaitu dua emas, tiga perak dan dua gangsa.