fb fb fb fb fb

Suarez bantu Inter Miami bangkit tewaskan Pumas, tempah slot suku akhir Piala Liga

Penyerang inter Miami, Luis Suarez/Foto REUTERS

FORT LAUDERDALE, 7 Ogos – Inter Miami CF mara ke suku akhir Piala Liga 2025 selepas mencatat kemenangan dramatik 3-1 ke atas kelab Liga MX, Pumas UNAM dalam aksi terakhir Fasa Pertama di Stadium Chase, pagi tadi waktu Malaysia.

Luis Suarez muncul wira perlawanan apabila menjaringkan satu gol dan mencipta dua bantuan jaringan, manakala Rodrigo De Paul serta Tadeo Allende turut mencatat nama selaku penjaring.

Pumas terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-34 menerusi Jorge Ruvalcaba yang memanfaatkan kesilapan benteng pertahanan tuan rumah. Namun, Inter Miami tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan.

Gol penyamaan hadir pada penghujung babak pertama apabila De Paul menyempurnakan hantaran Suarez dengan rembatan luar kaki yang tepat ke penjuru kanan bawah gawang. Ia merupakan gol sulung De Paul bersama kelab, manakala Suarez mencatat bantuan jaringan pertamanya dalam kempen Piala Liga musim ini dan yang ke-14 keseluruhan tahun ini.

Suarez kemudian menambah derita pelawat apabila menyempurnakan sepakan penalti gaya ‘Panenka’ pada minit ke-59 untuk meletakkan Miami di hadapan – gol ke-10 beliau musim ini.

Kemasukan Tadeo Allende memantapkan lagi serangan tuan rumah apabila pemain tengah itu menambah jaringan ketiga pasukan pada minit ke-69 selepas menerima lorongan bijak Suarez. Ia merupakan gol ke-11 Allende musim ini, manakala bantuan jaringan kedua Suarez menyamai rekod kelab yang dipegang Jordi Alba dengan 15 bantuan jaringan dalam satu musim (2024).

Kemenangan itu menjamin tempat Inter Miami ke peringkat suku akhir, dengan lawan seterusnya akan diketahui selepas penutup fasa pertama pada Khamis.

Inter Miami dijadualkan kembali ke saingan MLS hujung minggu ini apabila mereka bertandang ke laman musuh setempat, Orlando City SC pada Ahad.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD