fb fb fb fb fb

Program Rakan Muda akan dirancakkan di setiap daerah - Hannah Yeoh

Hannah Yeoh

BANDAR HILIR, 25 Mei- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan merancakkan pelaksanaan program Rakan Muda di semua daerah dalam usaha memperkukuh perpaduan dan integrasi nasional menerusi penganjuran program dan aktiviti khusus untuk belia dan anak muda.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, KBS akan menyelaraskan perkara itu bersama Majlis Belia Malaysia (MBM) bagi menjalankan program berkaitan.

"MBM dapat (peruntukan) RM5 juta tahun ini menerusi Geran Pentadbiran, tambah lagi RM2 juta untuk program Rakan Muda dan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) 'topup' RM3 juta untuk kumpulan belia.

"(Jadi) KBS akan selaraskan dengan MBM untuk pastikn MBM mempunyai dana tambahan untuk melakukan program Rakan Muda," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2024 peringkat kebangsaan di Dataran Pahlawan, di sini, Melaka, hari ini.

Dana tambahan sebanyak RM3 juta diumumkan Perdana Menteri ketika merasmikan sambutan HBN2024 hari ini.

Terdahulu, Yeoh dalam ucapannya berkata, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM5 juta untuk pelaksanaan HBN pada tahun ini meliputi pelaksanaan sebanyak 3,107 aktiviti dengan penyertaan seramai 2.5 juta peserta di seluruh negara.

Dalam perkembangan lain, KBS dan Majlis Sukan Negara (MSN) akan terus memantau serta memberi bantuan kepada atlet kayak kebangsaan, Siti Nurul Masyitah Elias, 22, yang terlibat kemalangan jalan raya, baru-baru ini.

Kata Yeoh, keutamaan pihaknya adalah bagi memastikan Siti Nurul Masyitah sembuh sepenuhnya.

ARTIKEL BERKAITAN
MBM sambut baik tambahan peruntukan RM3 juta
Anwar peruntuk RM10 juta untuk program Rakan Muda
Pemandu mabuk langgar atlet kayak, Siti Nurul Masyitah
Atlet kayak, Siti Nurul Masyitah mungkin terlepas aksi Kejohanan Dunia
Kes langgar atlet kayak, pembantu penyelia kilang mengaku tidak bersalah

SITI AISHAH MD ISA