BANDAR HILIR, 25 Mei- Majlis Belia Malaysia (MBM) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai tambahan peruntukan RM3 juta kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini.
Presidennya, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata, lebih banyak program berkaitan belia boleh dilaksanakan di seluruh negara menerusi peruntukan itu.
Ia sekali gus menjadi penggerak semangat kepada belia untuk berbakti kepada masyarakat dan negara.
"Dengan tambahan RM3 juta itu sudah tentu lebih banyak lagi program akan kita laksanakan bersama KBS dan Majlis Sukan Negara," katanya pada Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2024 peringkat kebangsaan di sini hari ini.
Sementara itu, Pemenang Anugerah Belia Perdana Individu 2024 bagi kategori lelaki dan wanita iaitu Muhammad Asmawi Sulaiman dan Esther Ezhil Nanggai turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas tambahan peruntukan itu yang diyakini bakal melonjakkan semangat belia untuk berdaya maju.
"Perdana Menteri tadi umum tambahan lagi RM3 juta... (keseluruhan peruntukan) naik sampai RM10 juta. (Ini membuktikan) Perdana Menteri amat prihatin terhadap belia. Saya yakin dan percaya ini (akan jadi) salah satu batu loncatan kepada semangat belia untuk terus bergerak, berkarya," kata Muhammad Asmawi.
"Tambahan peruntukkan ini adalah satu inisatif yang sangat bagus, ia akan bantu banyak pertubuhan belia di seluruh negara," kata Esther Ezhil.
Anwar mengumumkan berita gembira itu ketika berucap merasmikan HBN2024 peringkat kebangsaan di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir di sini, Melaka, hari ini.