fb fb fb fb fb

Piala Dunia: FIFA pertahan harga tiket, terima 150 juta permohonan

Presiden FIFA, Gianni Infantino

DUBAI, 30 Disember – Presiden FIFA, Gianni Infantino, mempertahankan harga tiket Piala Dunia 2026 meskipun menerima kritikan peminat.

Infantino tetap dengan pendirian bahawa permintaan luar biasa terhadap bola sepak membuktikan kekuatan kejohanan itu.

Beliau berkata FIFA menerima kira-kira 150 juta permohonan tiket dalam tempoh 15 hari, bersamaan hampir 10 juta permohonan setiap hari, sedangkan hanya enam hingga tujuh juta tiket ditawarkan.

“Dalam hampir 100 tahun sejarah Piala Dunia, FIFA hanya menjual 44 juta tiket. Dalam dua minggu sahaja, permintaan kali ini seolah-olah boleh memenuhi 300 edisi Piala Dunia,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak Sukan Dunia di Dubai, Isnin lalu.

Infantino berkata permintaan tertinggi datang daripada peminat di Amerika Syarikat, diikuti Jerman dan United Kingdom.

Tambah beliau, hasil jualan tiket akan dikembalikan untuk pembangunan bola sepak di seluruh dunia.

“Tanpa FIFA, tidak akan ada bola sepak di 150 negara. Hasil daripada Piala Dunia inilah yang membolehkan kami melabur semula untuk pembangunan sukan ini di peringkat global,” katanya. - REUTERS

GRACE AISYAH KEDAYAN