JOHOR BAHRU, 16 Mei - Atlet kayak negara, Siti Nurul Masyitah Md Elias, 22, tidak menolak kemungkinan atlet itu terlepas peluang beraksi pada Kejohanan Perahu Panjang Persekutuan Lumba Kanu Antarabangsa (ICF) 2024 yang bakal berlangsung November depan di Filipina.
Timbalan Menteri Belia Dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, ini berikutan atlet berkenaan mengalami kecederaan serius selepas terbabit kemalangan pada Sabtu, lalu.
Susulan itu, beliau berharap Nurul Masyitah dapat menumpukan kepada proses pemulihan ketika ini.
"Pihak Institut Sukan Negara (ISN) juga telah bersedia mengaktifkan segala bantuan bagi membantu pemulihan selepas selesai rawatan di hospital.
"Kos perubatan juga telah diselesaikan, berikutan Nurul Masyitah merupakan penerima biasiswa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ketika ini," katanya.
Adam Adli melawat Nurul Masyitah yang masih menerima rawatan di Hospital swasta di sini selain menyampaikan khairat daripada pihak Majlis Sukan Negara (MSN) kepada ibunya, Saloma Ramli.
Dalam kejadian Sabtu lalu, Nurul Masyitah yang dalam perjalanan ke latihan di Bakar Batu, Johor Bahru telah dilanggar sebuah kereta dan diseret sehingga 600 meter mengakibatkan retak bahu dan tulang pinggul.
Suspek dipercayai memandu dibawah pengaruh alkohol dan kes disiasat mengikut seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987.