fb fb fb fb fb

Spekulasi masa depan Cklamovski tidak berasas - Datuk Mohd Yusoff

Datuk Mohd Yusoff Mahadi ditemui selepas aksi final Piala Emas Raja-Raja 2025 / RTM

KUALA LUMPUR, 16 November - Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi menyifatkan spekulasi mengenai masa depan ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski sebagai khabar angin yang tidak berasas.

Desas-desus di media sosial mendakwa aksi menentang Nepal dalam perlawanan kelima Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa ini bakal menjadi tugasan terakhir Cklamovski bersama skuad negara.

"Awak pun dah cakap sprekulasi liar jadi saya pun anggap perkara itu liar sahaja lah," katanya yang ditemui selepas aksi final Piala Emas Raja-Raja 2025 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dalam perkembangan lain, FAM turut mengesahkan telah meminta alasan bertulis daripada Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) selepas rayuan berhubung isu dokumentasi tujuh pemain warisan ditolak badan induk berkenaan.

"Pengurusan sudah hantar jadi sekarang kita perlu menunggu jawapan daripada pihak FIFA sahaja, kita sekadar hanya boleh menunggu sahaja dan selepas itu kita hanya ada 21 hari untuk menghantar ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS). Buat sementara ini kita hanya perlu menunggu sahaja," jelasnya.

FIFA sebelum ini mengekalkan hukuman denda RM1.8 juta ke atas FAM dan penggantungan 12 bulan terhadap tujuh pemain warisan iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Manchuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

MOHD NORIZWAN BIN SAMAN