fb fb fb fb fb

Sikh Izhan, Luqman Hakim muncul dengan keyakinan baharu hadapi Nepal

Sikh Izhan (kanan) dan Luqman Hakim

KUALA LUMPUR, 16 November - Persiapan skuad Harimau Malaya menjelang aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal memasuki fasa penting apabila dua pemain muda, Sikh Izhan dan Luqman Hakim tampil dengan keyakinan baharu selepas melalui perjalanan karier yang berbeza sepanjang musim ini.

Penjaga gol negara, Sikh Izhan menyifatkan kem latihan selama seminggu ini berjalan cemerlang dengan semua pemain menunjukkan kesediaan tinggi dalam misi memburu kemenangan kedua ke atas Nepal.

“Setakat ini keadaan pasukan dalam persiapan yang sangat bagus jadi semua pemain bersedia sepenuhnya dan saya pasti bertemu Nepal buat kali kedua ini akan memberikan impak yang positif kepada pasukan kebangsaan,” katanya.

Tambahnya, peluang beraksi secara konsisten di peringkat kelab menjadi lonjakan penting kepada prestasinya, namun keputusan memilih barisan utama tetap bergantung sepenuhnya kepada ketua jurulatih.

Sementara itu, penyerang Negeri Sembilan, Luqman Hakim, kembali bersama pasukan negara selepas lebih setahun bergelut dengan kecederaan hamstring. Luqman menyifatkan pemilihannya kali ini sebagai rezeki besar yang mengembalikan keyakinannya.

“Syukur Alhamdullilah setelah sekian lama, tak silap saya hampir setahun lebih saya tidak dapat panggilan skuad kebangsaan, saya rasa bangga dan bertuah untuk diri saya dan sangat gembira,” katanya.

Luqman yang kini memasuki hari kelima latihan bersama skuad kebangsaan turut menyatakan latihan intensiti tinggi membantu mengembalikan ritma permainan sambil menegaskan beliau sedia beraksi di mana sahaja posisi yang ditetapkan.

Kedua-dua pemain dijangka menjadi antara pilihan penting ketika Malaysia turun menentang Nepal dalam aksi kelayakan di Stadium Nasional minggu ini, dengan harapan memperkukuh kedudukan pasukan dalam kempen menuju Piala Asia 2027.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE