fb fb fb fb fb

Pearly-Thinaah juara Kumamoto Masters 2025

Pearly-Thinaah juara Kumamoto Masters 2025

KYUSHU, 16 November - Beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah melakar sejarah apabila muncul gandingan pertama dari Malaysia yang menjuarai Kumamoto Masters 2025 di Jepun.

Kejayaan itu hadir selepas mereka menewaskan gandingan tuan rumah, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dalam aksi final di Gimnasium Wilayah Kumamoto.

Dalam perlawanan tersebut, beregu nombor dua dunia itu mempamerkan kebangkitan luar biasa dalam kedua-dua set untuk menang straight sets 22-20, 21-19 dalam tempoh 54 minit.

Pearly-Thinaah kini bergelar juara Malaysia pertama dalam kejohanan yang mula diperkenal pada tahun 2023 itu.

Ia sekaligus mengatasi pencapaian terbaik negara sebelum ini menerusi perseorangan lelaki, Leong Jun Hao yang muncul naib juara tahun lalu.

Kejayaan di Kumamoto juga merupakan gelaran ketiga mereka dalam Jelajah Dunia BWF setelah menjuarai Terbuka Thailand dan Terbuka Artik tahun ini.

Selaku juara, Pearly-Thinaah membawa pulang hadiah wang tunai AS$37,525 (RM155,071), manakala Iwanaga-Nakanishi meraih AS$18,050 (RM74,591) selaku naib juara.

MOHD NORIZWAN BIN SAMAN