BANGKOK, 17 Mei - Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menepati ramalan apabila mengesahkan tiket ke suku akhir Terbuka Thailand menerusi kemenangan ke atas pemain Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin.
Pada saingan itu, pemain berusia 26 tahun itu menang 22-20 dan 21-7.
Zii Jia hanya memerlukan 38 minit untuk meraih kemenangan mudah.
Zii Jia akan berdepan ujian sebenar apabila dijadual membuat perhitungan dengan pemain China, Lu Guang Zu pada aksi suku akhir Terbuka Thailand, hari ini.
Berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pemain, Zii Jia yang kini berada di ranking ke-10 dunia menang empat daripada enam pertemuan ke atas lawan yang menghuni ranking ke-19 dunia itu.
Sementara itu, dua beregu lelaki turut mengikut jejak langkah Zii Jia ke suku akhir.
Gandingan Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian dan Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King berjaya menundukkan lawan masing-masing.
Beregu muda negara Haikal Nazri-Hon Jian mudah menewaskan pasangan Thailand, Pharanyu Kaosa maang-Worrapol Thongsa-Nga 21-17; 21-10 dalam tempoh 33 minit.
Pasangan ranking ke-28 dunia itu akan berdepan Lu Ming Che-Tang Kai Wei bagi perebutan tiket ke separuh akhir petang nanti.
Hon Jian menyatakan, mereka akan meneruskan corak permainan serangan terhadap gandingan Ming Che-Kai Wei.
Turut mara, Pasangan Wan Arif-Roy King yang mengatasi pasangan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard 21-14; 21-13.
Mereka akan membuat perhitungan suku akhir dengan pasangan nombor tiga dunia dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.