BAKU, 16 November - Kapten Perancis, Kylian Mbappe disahkan tidak akan beraksi pada perlawanan terakhir kelayakan Piala Dunia menentang Azerbaijan awal pagi esok akibat kecederaan buku lali.
Ketua Jurulatih, Didier Deschamps telah membenarkan penyerangnya itu pulang lebih awal ke Real Madrid untuk mendapatkan rawatan lanjut.
"Saya akan melakukan banyak perubahan memandangkan kami sudah pun layak dan memberi peluang pemain lain mendapat lebih banyak minit permainan."
"Buku lali Mbappe masih mengalami keradangan. Saya membenarkannya pulang ke Real Madrid dan mereka akan menilai keadaannya. Saya rasa tidak berbaloi untuk mengambil sebarang risiko," katanya dalam sidang media menjelang perlawanan tersebut.
Pemain berusia 26 tahun itu sebelum ini cemerlang meledak dua gol serta satu bantuan jaringan ketika Perancis membelasah Ukraine 4-0 pada Jumaat lalu, kemenangan yang turut mengesahkan tempat Les Bleus ke Piala Dunia 2026.
Perancis mengutip 13 mata daripada lima perlawanan kumpulan D dengan mencatat empat kemenangan dan satu seri.
Azerbaijan pula akan turun bagi melengkapkan jadual selepas hanya meraih satu mata di tangga tercorot. - REUTERS