KUALA LUMPUR, 4 September – Kredibiliti Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente akan diuji dalam perlawanan pembukaan skuad kebangsaan menentang Filipina pada kejohanan Pestabola Merdeka 2024, yang akan berlangsung malam ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Vicente, yang baru dilantik dijangka menguji taktikal dan kesungguhan para pemain dalam usaha memburu kecemerlangan pada kejohanan itu.
"Saya positif kita boleh meraih keputusan yang lebih baik. Kami akan cuba bagi terbaik dan harap kami dapat bagi keputusan yang baik," kata Vicente dalam sidang media menjelang perlawanan pada Selasa.
Dalam satu lagi perlawanan separuh akhir, juara bertahan Tajikistan akan berdepan Lubnan di venue yang sama yang dijadual akan berlangsung pada Ahad.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Tajikistan, Gela Shekiladze menyifatkan Pestabola Merdeka 2024 sebagai platform penting bagi persiapan menjelang pusingan kelayakan Piala Asia 2027 yang dijadualkan bermula pada Mac depan.
"Penting bagi pemain, khususnya wajah baharu. Mereka perlu pengalaman di peringkat tinggi. Rata-rata mereka merupakan pemain tempatan. Inilah peluang untuk mempertingkatkan diri dengan tekanan. Kami akan berdepan pasukan yang bagus," katanya.
Tajikistan sebelum ini muncul juara Pestabola Merdeka 2023 selepas menewaskan Malaysia 2-0 pada perlawanan akhir edisi ke-42.