fb fb fb fb fb

Olimpik Paris 2024: Saiz kontinjen bukan keutamaan, fokus buru emas - Hamidin

Datuk Hamidin Mohd Amin / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Februari - Semua pihak perlu menerima hakikat bahawa saiz kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 akan lebih kecil daripada edisi-edisi sebelum ini.

Ketua kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata saiz kontijen bukanlah perkara yang perlu dibimbangkan sebaliknya barisan atlet negara di temasya itu harus melakukan yang terbaik dalam memburu pingat emas.

"Kita mesti terima hakikat kita tidak layak tetapi kita mesti memberi yang terbaik kepada atlet yang bersaing di Paris nanti. Namun kita semua tahu dan harus menerima hakikat kontijen kali ini akan lebih kecil," katanya.

Tambah Hamidin, setakat ini hanya lima atlet sudah melayakkan diri iaitu penerjun muda, Bertrand Rhodict Lises, atlet pelayaran Nur Shazrin Latif, atlet menembak Johnathan Wong, atlet memanah Ariana Nur Dania Zairi dan atlet berbasikal lebuh raya, Nur Aisyah Mohd Zubir.

Sebelum ini, pada Olimpik Tokyo 2020, kontinjen negara diwakili 30 atlet dengan Malaysia membawa pulang satu perak dan satu gangsa.

Dalam perkembangan lain, Hamidin yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata, skuad bola sepak kebangsaan Bawah 23 Tahun bakal diuji dengan enam perlawanan persahabatan.

Ini sebagai persediaan menghadapi Kelayakan Olimpik Paris 2024 bermula 15 April hingga 3 Mei ini di Qatar.

Beliau berkata, barisan pemain Harimau Muda kendalian Juan Torres Garrido akan bertemu Jepun, Qatar dan India dalam aksi pemanas badan.

"Kita akan bermain dengan india dan satu atau dua perlawanan di sini sebelum kita bergerak awal ke Qatar. Kita juga akan adakan perlawanan bertemu Qatar dan dua lagi perlawanan akan diatur mungkin pasukan Jepun. Kita hantar mereka seminggu atau dua minggu awal ke sana," katanya.

Hamidin mengakui bahawa peluang untuk pasukan negara layak ke Olimpik selepas 44 tahun dilihat sukar kerana hanya pasukan tiga terbaik dalam Piala Asia B-23 akan layak ke temasya di Paris

Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Uzbekistan, Vietnam dan Kuwait.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN