fb fb fb fb fb

'Miki' raih emas di IFMA 2025

Foto FB Muay Thai Malaysia

ABU DHABI, 19 September- Atlet muda Muay Thai negara, Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar mencipta sensasi di pentas dunia apabila merangkul pingat emas pada Kejuaraan Remaja Dunia Persatuan Persekutuan Muay Thai Antarabangsa (IFMA) 2025 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu, malam tadi.

Mikail, yang baru berusia 16 tahun, beraksi cemerlang dalam kategori junior 15-16 tahun lelaki bawah 63.5 kilogram dengan menundukkan lawannya dari Australia, Lincoln Davis.

Pertarungan dihentikan pengadil pada pusingan ketiga atas faktor keselamatan selepas Mikail mendahului mata 20-18.

Kejayaan itu amat bermakna buat Mikail yang sebelum ini tersingkir di suku akhir kategori junior 16–17 lelaki bawah 60 kilogram.

Ini sekali gus menjadi bukti semangat juang tinggi selain mengangkat martabat bakat muda Muay Thai negara.

Lebih penting, kemenangan Mikail turut memberi isyarat bahawa Malaysia kini memiliki pelapis berpotensi besar untuk terus menyerlah di pentas antarabangsa.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM