fb fb fb fb fb

Melaka tuan rumah Piala Emas Raja-Raja edisi Ke-102

Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia Mohd Firdaus Mohamed (dua, kanan) dan Persatuan Bolasepak Melayu Melaka (Baru) Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali (dua, kiri) menunjukkan Piala Emas Raja-Raja dan Piala Agong selepas sidang akhbar majlis pelancarannya di Ayer Keroh lewat malam tadi/Foto BERNAMA

MELAKA, 9 Jun -  Melaka dipilih menjadi tuan rumah Kejohanan Piala Emas Raja-Raja edisi ke-102 yang bakal berlangsung Oktober ini.

Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM), Mohd Firdaus Mohamed berkata, kejohanan secara karnival itu akan diadakan di empat venue antaranya Stadium Hang Tuah, Stadium Tun Fatimah, Stadium Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Stadium Mini Sekolah Sukan Negeri (SSN) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota.

"Melaka dipilih menjadi tuan rumah sebagai penghormatan bagi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

"Sebanyak 16 pasukan akan berkampung selama 12 hari di Melaka termasuk tiga pasukan jemputan iaitu Akademi Bolasepak negara Mokhtar Dahari (AMD), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya pada sidang akhbar di Ayer Keroh di sini malam tadi.

Hadir sama Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Melaka Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.

Mohd Firdaus yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata juara akan membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 manakala naib johan sebanyak RM30,000.

Sementara itu, Mohd Ridhwan berkata akan memberikan kerjasama penuh dalam memastikan penganjuran kejohanan tersebut berjalan lancar dan sempurna.

"Pemilihan Melaka sebagai tuan rumah merupakan penghormatan dan terima kasih atas kepercayaan untuk menganjurkan pertandingan Piala Emas Raja-Raja bagi edisi ke-102," ini katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN