fb fb fb fb fb

Martin ungguli MotoGP Indonesia, lebarkan jurang ke atas Bagnaia

Jorge Martin (tengah) / Foto AFP

LOMBOK, 29 September - Jorge Martin memenangi MotoGP Indonesia pada Ahad, memperluas pendahuluannya dalam kejuaraan.

Kemenangan itu meletakkan pelumba Pramac tersebut 21 mata di hadapan pesaingnya dari Ducati, Francesco Bagnaia yang menamatkan perlumbaan di tempat ketiga di belakang Pedro Acosta dari Sepanyol dalam keadaan cuaca panas terik di litar Mandalika, pulau Lombok.

Di hadapan penonton seramai 60,000 orang, Martin yang berusia 26 tahun berjaya melupakan kemalangan dalam perlumbaan sprint pada Sabtu, membatalkan kelebihan yang diperoleh Bagnaia selepas memenangi perlumbaan itu.

"Terima kasih Indonesia. Saya sangat gembira. Ini bukan sekadar kemenangan. Selepas apa yang berlaku musim lalu dan kemalangan semalam, untuk beraksi sebegini adalah sangat sukar," kata Martin.

"Saya percaya pada diri sendiri tetapi saya rasa saya akan terjatuh di setiap selekoh. Pedro memberi tekanan yang hebat, jadi saya sangat gembira."

Terdapat persaingan sengit antara pelumba Itali untuk tempat terakhir di podium antara Bagnaia, Enea Bastianini, Franco Morbidelli, dan Marco Bezzecchi.

Namun, Bagnaia, yang memenangi perlumbaan di Mandalika tahun lalu, berjaya mendudukinya selepas rakan sepasukannya, Bastianini, terjatuh dengan baki enam pusingan, dan dia melepasi Morbidelli.

"Perlumbaan yang sangat sukar. Saya banyak bergelut di permulaan. Ini kali kelima berturut-turut kami menghadapi kesukaran. Kami perlu memperbaiki bahagian itu," kata Bagnaia kepada wartawan.

"Sebaik sahaja saya kembali ke hadapan, saya mampu memecut, tetapi ia sudah terlambat."

Namun, ketika para pelumba melintasi garisan penamat, diumumkan bahawa Acosta sedang disiasat kerana pelanggaran tekanan tayar.

Penalti yang mungkin dikenakan akan memberi Bagnaia harapan untuk tempat kedua dan tambahan empat mata, mengurangkan pendahuluan Martin kepada hanya 17 mata.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN