fb fb fb fb fb

LTdL 2025 medan pelumba pamer prestasi sebelum Sukan SEA Thailand

Norazman (tengah) ketika mengumumkan barisan pelumba negara pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (2025). Foto PKBM

KUALA LUMPUR, 22 September - Enam pelumba terbaik dipilih membawa cabaran negara pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 yang akan membuka tirainya Ahad ini.

Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Norazman Datuk Abu Samah berkata perlumbaan berprestij itu akan menjadi pentas pemanas badan menjelang Sukan SEA 2025 Thailand, Disember depan.

"Pencapaian di LTdL 2025 sangat penting sebagai persiapan pasukan sebelum mempertahankan emas Sukan SEA.

"Sasaran kita memang kita mahu berada terbaik di peringkat Asia. Jadi apabila kita tengok daripada barisan pelumba kita mempertaruhkan pelumba berpengalaman Kee Zhe Yie dengan Muhammad Ameer Ahmad Kamal. Jadi kita berharap mereka dapat menunjukkan prestasi yang membanggakan," katanya dalam sidang media di Majlis Sukan Negara di sini, hari ini.

Selain dua pelumba itu, pasukan negara yang dibimbing jurulatih, Mohd Yusof Abdul Nasir turut menyenaraikan Muhammad Elmi Jumari, Muhammad Iqmal Mohd Zarawi, Muhammad Yusri Shaari, Mohd Shahrul Mat Amin sebagai pelumba utama.

Manakala Muhamad Afiq Huznie Othman sebagai pelumba simpanan.

JALALUDDIN BIN BAHARIN