fb fb fb fb fb

Liga Super: Perak terus kempunan

Foto BERNAMA

IPOH, 14 Julai-Perak FC terus berputih mata apabila tewas 0-2 kepada Penang FC dalam aksi Liga Super di laman sendiri malam tadi.

Kekalahan tersebut merupakan keempat buat anak-anak buah Yusri Che Lah selepas lima perlawanan.

Pada separuh masa pertama, Perak FC dilihat lebih banyak menguasai perlawanan.

Beberapa peluang diperoleh namun gagal dimanfaatkan tuan rumah untuk jaringan gol.

Pada minit ke-45, pasukan pelawat dihadiahkan sepakan penalti selepas rembatan Mohamed Syamer Kutty Abba di luar kotak penalti terkena tangan Luiz Henrique Santana Motta.

Peluang itu mudah disempurnakan pemain import Joao Ferreira De Oliveira Neto untuk jaringan pertama Penang FC.

Bersambung babak kedua, Perak sedaya-upaya mencari sekurang-kurangnya gol penyamaan namun masih gagal menemui jaringan.

Sebaliknya mereka dihukum dengan jaringan kedua hasil rembatan Muhammad Alif Ikmalrizal Anuar pada penghujung babak bagi menjadikan keputusan muktamad 2-0. 

Kekalahan berkenaan sememangnya mengecewakan Ketua jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah.

"Selama ini saya masih lagi mempertahankan para pemain saya. Tetapi malam ini, saya tidak mampu lagi. Apa yang ditampilkan malam ini (Sabtu), mereka seolah-olah tidak inginkan kemenangan", kata Yusri pada sidang media selepas perlawanan.

Sementara itu, Ketua jurulatih Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli pula menyifatkan kemenangan menentang Perak adalah permulaan baik buat pasukannya untuk terus mencatatkan kemenangan pada perlawanan seterusnya.

"Walaupun kita gagalmenang dalam empat perlawanan sebelum ini termasuk tewas pada suku akhir Piala FA tetapi para pemain masih bermotivasi untuk menang.

"Ini merupakan satu permulaan baik untuk perlawanan akan datang", katanya.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD