fb fb fb fb fb

Liga Perdana Inggeris : Liverpool lebarkan kedudukan pendahulu

Foto Reuters

LONDON, 1 Februari - Liverpool melebarkan kedudukan sebagai pendahulu liga Perdana Inggeris selepas menewaskan Chelsea 4-1 pada Rabu.

Pada perlawanan berkenaan, pemain muda Liverpool, Conor Bradley berjaya mencuri perhatian dengan gol pertama musim ini di samping mengilhamkan gerakan bagi dua gol pasukan berkenaan.

Diogo Jota, Dominik Szoboszlai, dan Luis Diaz turut mencetak nama selaku penjaring gol.

Liverpool terlebih dahulu memcahkan kebuntuan menerusi Diogo Jota pada minit ke-23 selepas menyempurnakan hantaran Bradley yang berjaya melepasi dua pertahanan Chelsea bagi menjadikan kedudukan 1-0.

Bradley sekali lagi bertindak cemerlang apabila menjaringkan gol kedua 'The Reds' pada minit ke-39 selepas melakukan rembatan kencang di penjuru kanan gawang Chelsea bagi kedudukan 2-0.

Bersambung babak kedua, Liverpool terus menghadirkan ancaman buat Chelsea dengan gerakan berbahaya oleh gandingan Szoboszlai-Bradley.

Bradley terus menjadi duri dalam daging buat Chelsea apabila berjaya mengilhamkan gol ketiga menerusi hantaran lintang yang berjaya ditanduk oleh Szoboszlai pada minit ke-65.

Chelsea berjaya merapatkan jurang menerusi jaringan Christopher Nkunku pada minit ke-71 bagi menjadikan kedudukan 3-1.

Luiz Diaz memadamkan sisa-sisa kebangkitan Chelsea dengan jaringan keempat pada minit ke-79 sekali gus bagi memberikan kemenangan ke-15 buat Liverpool musim ini.

Kemenangan tersebut juga merupakan kemenangan ke-200 buat pengurus Liverpool, Jurgen Klopp sepanjang mengemudi pasukan berkenaan.

Liverpool kini ditangga teratas liga dengan 51 mata, lima mata mengatasi penyadang juara, Manchester City yang turut menang ke atas Burnley 3-1 dalam satu lagi perlawanan.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD