LONDON, 27 Disember-Arsenal bangkit daripada ketinggalan sebelum menang 3-1 keatas West Ham pagi tadi.
Kemenangan tersebut mengukuhkan kedudukan Arsenal selaku pendahulu liga dengan kelebihan tujuh mata.
Gol-gol daripada Bukayo Saka dan Gabriel Martinelli lima minit selepas separuh masa kedua perlawanan mengubah rentak perlawanan sebelum Eddie Nketiah melengkapkan gol ketiga 'The Gunners'.
Terdahulu, West Ham bermula garang mengejutkan Arsenal 1-0 hasil jaringan Said Benrahma menerusi sepakan penalti pada separuh masa pertama perlawanan.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menyifatkan sikap tenang yang ditunjukkan para pemainnya merupakan kunci utama kepada kemenangan pasukan yang berpengkalan di utara London itu.
(Pengurus Arsenal, Mikel Arteta ketika perlawanan menentang West Ham / FOTO AFP)
"Kami menunjukkan ketenangan dan tidak panik. Pamain melakukan apa yang sepatutnya dilakukan bagi memenangi perlawanan", ujar Arteta.
Arteta tidak membuat sebarang perubahan kepada senarai kesebelasan utama dengan menurunkan William Saliba yang baru saja pulang selepas membantu skuad Perancis menjadi naib juara Piala Dunia 2022 di Qatar.
Langkah tersebut ternyata memakan diri selepas Saliba menjatuhkan penyerang West Ham, Jarod Bowen di dalam kotak penalti yang disempurnakan Said Benrahma.
Sementara itu, ketua pasukan West Ham Declan Rice menganggap Arsenal mampu menjuarai gelaran liga sekiranya sentiasa kekal konsisten pada setiap perlawanan.
"Mereka merupakan pasukan pilihan. Arsenal dibarisi pemain-pemain muda yang berbakat dan mampu mencabar kejuaraan liga kali ini." kata Rice lagi.
Juara bertahan Manchester City mampu mengurangkan kelebihan Arsenal kepada lima mata sekiranya menang pada pertemuan menentang Leeds United malam ini.
Arsenal kini berada di puncak liga dengan 40 mata diikuti Newcastle United dengan 33 mata. Juara bertahan, Manchester City pula di kedudukan ketiga dengan 32 mata.-AFP