KUALA LUMPUR, 11 Ogos- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan penghargaan kepada jaguh berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang yang bertanding dalam acara keirin lelaki pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024 semalam.
"Kamu tetap dan selamanya permata negara, terima kasih," kata Perdana Menteri memberi semangat kepada Azizulhasni menerusi hantaran dimuat naik dalam ruangan Facebook Story.
Azizulhasni menggalas impian negara untuk merangkul emas pertama pada temasya sukan itu tersingkir seawal saringan pertama acara keirin lelaki di Velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines di Paris semalam.
Penyertaan pelumba berusia 36 tahun itu dibatalkan semasa saringan satu pusingan pertama selepas didapati memotong derny (basikal elektrik bertindak sebagai pacer) sebelum derny meninggalkan trek, sekali gus perlumbaan dimulakan semula tanpa penyertaan Azizulhasni.
Penyandang pingat perak pada Olimpik Tokyo 2020 itu sepatutnya bersaing dengan lima pelumba lain iaitu Matthew Glaetzer dari Australia, Rayan Helal (Perancis), Kaiya Ota (Jepun), Jeffrey Hoogland (Belanda) dan pelumba Suriname, Jair Tjon En Fa.
Saringan berkenaan dimenangi Glaetzer sementara kedua menjadi milik Hoogland.