fb fb fb fb fb

Jurulatih skuad Piala Dunia Uzbekistan letak jawatan

Srecko Katanec / REUTERS

TASHKENT, 22 Januari- Srecko Katanec dilaporkan telah meletak jawatan sebagai ketua jurulatih Uzbekistan disebabkan masalah kesihatan yang tidak didedahkan, kurang dari dua bulan sebelum kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Kyrgyzstan dan Iran.

Berita itu disahkan Persatuan Bola Sepak Uzbekistan pada Rabu.

Jurulatih berusia 61 tahun yang pernah melatih Slovenia di Piala Dunia 2002 itu meninggalkan jawatannya dengan Uzbekistan berada dalam kedudukan yang kukuh untuk melayakkan diri ke Piala Dunia buat kali pertama, menduduki tempat kedua dalam Kumpulan A kelayakan Asia.

“Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Uzbekistan, Srecko Katanec, memutuskan untuk membatalkan kontraknya dengan Persatuan Bola Sepak Uzbekistan dengan persetujuan bersama disebabkan masalah kesihatan,” kata persatuan itu dalam satu kenyataan di Instagram.

“Jurulatih Slovenia itu menyatakan dengan kesedihan bahawa beliau tidak dapat menjalankan tugasnya dengan penuh dan profesional dalam keadaan kesihatannya sekarang.”

Katanec mengambil alih jawatan sebagai ketua jurulatih pada Ogos 2021 dan telah membawa Uzbekistan ke tempat kedua dalam kumpulan kelayakan mereka untuk Piala Dunia, ketinggalan tiga mata di belakang Iran yang berada di tangga pertama dan mendahului UAE yang berada di tempat ketiga dengan perbezaan tiga mata, dengan empat perlawanan berbaki.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE