
PUTRAJAYA, 17 September – Pengeluaran MyKad generasi baharu tidak menjejaskan rekod atau penerimaan bantuan dan subsidi kerajaan yang menggunakan kad pengenalan itu.
- Rekod penerima bantuan direkodkan dalam sistem SARA dan BUDI MADANI, bukan dalam MyKad.
- Penjelasan diberikan oleh Pengarah Bahagian Kad Pengenalan JPN, Muhammad Asraf Sukadi.
- Individu yang perlu menggantikan MyKad disaran hadir ke salah satu daripada 40 lokasi JPN atau UTC dengan kemudahan cetakan.
- Kemudahan cetakan membolehkan kad siap pada hari sama, mengelakkan gangguan kepada urusan bantuan atau subsidi.
Pengarah Bahagian Kad Pengenalan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Muhammad Asraf Sukadi berkata, rekod penerima tidak disimpan di dalam MyKad, sebaliknya direkodkan menerusi sistem bantuan berkaitan termasuk Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan BUDI MADANI.
Justeru, MyKad Generasi Baharu boleh terus digunakan bagi urusan bantuan dan subsidi sebaik sahaja diterima.
“Seperti yang saya katakan, rekod subsidi tidak direkodkan di dalam MyKad. Sebaliknya, ia direkodkan dalam sistem yang disediakan oleh SARA atau BUDI.
“Jadi, apabila menerima MyKad baharu, pemegangnya boleh terus menggunakan MyKad tersebut tanpa sebarang masalah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau proses pengeluaran MyKad Generasi Baharu di sini.
Dalam pada itu, individu yang menggunakan MyKad bagi urusan subsidi dan perlu menggantikannya disaran untuk hadir ke salah satu daripada 40 lokasi JPN dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang mempunyai kemudahan cetakan.
Kemudahan itu membolehkan MyKad disiapkan pada hari sama, sekali gus mengelakkan urusan mendapatkan bantuan atau subsidi terganggu sementara menunggu kad baharu.