fb fb fb fb fb

Juara Olimpik Singapura tidak sertai Sukan Asia

(Joseph Schooling/ File AFP)

SINGAPURA, 5 Ogos- Satu-satunya juara Olimpik dari Singapura, Joseph Schooling tidak akan bertanding dalam Sukan Asia di Hangzhou, China bulan depan kata perenang itu.

“Walaupun saya tidak akan mengambil bahagian, saya mengucapkan yang terbaik kepada kontinjen Sukan Asia dan berharap mereka akan membanggakan Singapura,” kata Schooling, 28, dalam satu kenyataan.

"Status latihan dan pertandingan saya kekal sama. Butiran lanjut mengenai masa depan saya akan dikongsi dalam masa terdekat."

Singapore Aquatics sebelum ini memberitahu akhbar The Straits Times bahawa dua perenang telah mencatat masa lebih cepat daripada Schooling semasa jendela kelayakan untuk temasya itu.

Schooling telah menarik diri daripada Sukan SEA yang diadakan pada bulan Mei dengan alasan "tidak berada pada tahap untuk melakukan yang terbaik".

Perenang itu yang telah menjalani perkhidmatan ketenteraan wajib selama dua tahun, terperangkap dalam kontroversi dadah tahun lalu. Beliau diuji negatif, tetapi mengaku mengambil ganja di luar negara.

Singapura mempunyai beberapa undang-undang dadah yang paling ketat di dunia.

Rakyat dan penduduk tetapnya berdepan hukuman penjara 10 tahun jika didapati mengambil bahan haram di luar negara.

Schooling mencetuskan sensasi di Rio 2016 apabila menewaskan Michael Phelps untuk memenangi acara 100 meter kupu-kupu lelaki. -AFP

(FOTO AFP)

Media Baharu