fb fb fb fb fb

Jersi baharu Harimau Malaya bertema 'Demi Lencana di Dada'

(Jersi utama atau home, kekal menggunakan warna kuning sebagai warna dominan)

PETALING JAYA, 18 November- Skuad Harimau Malaya bakal tampil lebih garang menerusi jersi baharu bertemakan 'Demi Lencana Di Dada'.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, jersi musim 2022-2024 yang dilancarkan Nike Malaysia akan digunakan oleh skuad kebangsaan pada kempen Piala AFF yang dijadual bermula 20 Disember ini.

Katanya, jersi utama atau jersi 'home' edisi kali ini kekal menggunakan kuning sebagai warna dominan dengan hanya bahagian kolar bulatnya berwarna hitam manakala jersi kedua atau jersi 'away' juga terus dikekalkan warna hitam sebagai warna dominan.

“Inilah sebenarnya naratif yang cuba disampaikan iaitu segala fokus pada jersi home kali ini bukan kepada corak atau reka bentuknya tetapi tertumpu kepada sifat eksklusif logo FAM itu sendiri untuk membawa mesej mereka (pemain) bermain 'Demi Lencana Di Dada'.

(Tiga pemain negara iaitu Ahmad Khuzaimi Piee (kiri), V. Ruventhiran (kanan) dan
Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (tengah) masing-masing kelihatan segak menggayakan ketiga-tiga
rekaan baharu jersi pasukannegara termasuk set penjaga gol)

"Saya harap dengan pelancaran ini, akan memberi semangat baru kepada pasukan nasional terutamanya bagi kita menghadapi pertandingan afc akan datang dan juga fans kita pun akan suka dengan penampilan baharu," katanya pada majlis pelancaran jersi berkenaan,yang di sini.

Majlis tersebut disempurnakan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin bersama Pengarah Pemasaran Nike Asia Tenggara dan India, Chris Madsen.

Kedua-dua jersi baharu itu yang masing-masing dijual pada harga RM299 sehelai boleh didapati secara eksklusif di Football Republic Sunway Pyramid dan secara dalam talian di www.nike.com/my dan Nike App bermula hari ini.

Ia disusuli penjualan secara menyeluruh di outlet terpilih Al-Ikhsan Sports dan Football Republic seluruh negara serta di www.al-ikhsan.com bermula 24 November ini.

Skuad Harimau Malaya bakal berdepan dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang Kemboja dan Maldives pada 9 dan 14 Disember 2022 sebagai persiapan menghadapi Piala AFF 2022.


Media Baharu