GNIEZNO, 10 Jun-Penyerang negara Faizal Saari mencipta sensasi apabila hatriknya, berjaya membantu Malaysia meraih kemenangan 5-4 menewaskan Austria pada kejohanan Hoki Piala Negara-Negara 2024 di sini.
Kemenangan itu membolehkan Malaysia menamatkan kempen kejohanan di tempat ketujuh.
Terdahulu, Skuad Speedy Tigers mendahului pada minit kedua, pada perlawanan penentuan tempat ketujuh-kelapan, melalui jaringan padang Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal, sebelum Faizal menggandakan jaringan, dengan pukulan sudut penalti pada minit ke-18.
Austria di ranking ke-19 dunia, merapatkan defisit 2-1 menerusi pukulan penalti Fulop Losonci, pada minit ke-21,sebelum Mohammad Fitri Saari menjarakkan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti dua minit kemudian.
Faizal kemudian menyempurnakan hatrik dengan dua jaringan padang, pada minit ke-32 dan 33 untuk meletakkan Speedy Tigers mendahului 5-1.
Bagaimanapun, Malaysia di ranking ke-13 dunia, membenarkan Austria bangkit dengan tiga lagi jaringan lawan pada minit ke-34, 51 serta ke-49.
Selepas ini, Skuad hoki kebangsaan akan meneruskan tugasan pada kempen Trofi Juara-Juara Asia, di Inner Mongolia, China dari 8 hingga 17 September ini.