HONG KONG, 21 Ogos - Ketua Jurulatih Al-Ahli, Matthias Jaissle berpendapat pasukannya perlu lebih berwaspada menentang Al-Nassr dalam aksi akhir Piala Super Saudi pada 23 Ogos ini.
Al-Ahli dan Al-Nassr masing-masing berjaya menempah slot ke saingan akhir selepas mengungguli aksi separuh akhir semalam.
Jaissle berkata, misi utama pasukannya adalah untuk mendapatkan kemenangan dalam saingan akhir tersebut.
"Anda perlu akui bahawa Al-Nassr telah melakukan tugas dengan cemerlang terutama pada jendela perpindahan baru-baru ini.
"Mereka memiliki pemain baharu yang hebat. Buat masa ini beri kami masa untuk berehat dan selepas itu kami akan fikirkan cara untuk menewaskan Al-Nassr dalam saingan akhir nanti," katanya dalam sidang media selepas perlawanan separuh akhir Piala Super Saudi, semalam.
Terdahulu dalam saingan separuh akhir kejohanan yang berlangsung di Stadium Hong Kong menyaksikan Al-Ahli menang dengan keputusan 5-1 menewaskan Al Qadsiah FC.
Sementara Al-Nassr mara ke saingan akhir selepas menewaskan Al-Ittihad dengan keputusan 2-1. - REUTERS