fb fb fb fb fb

Bissouma mohon maaf muat naik video sedut gas ketawa

Pemain tengah Tottenham, Yves Bissouma

LONDON, 12 Ogos- Pemain tengah Tottenham, Yves Bissouma, memohon maaf dan mengakui bahawa dia kurang pertimbangan selepas dirakam menyedut gas nitrous oksida.

Bissouma memuat naik video di media sosial pada hari Sabtu di mana dia dilihat menyedut gas dari belon yang mengandungi dadah Kelas C yang dikenali sebagai gas ketawa.

Bissouma, 27 tahun, pemain antarabangsa Mali, dijangka berdepan siasatan dalaman kelab dan akan dikenakan tindakan disiplin atas perbuatannya itu.

Pemilikan gas nitrous oksida untuk penggunaan rekreasi telah menjadi kesalahan jenayah di Britain sejak 2023 dan boleh dikenakan hukuman penjara sebagai sebahagian daripada pelan tindakan tingkah laku anti-sosial kerajaan.

"Saya ingin memohon maaf atas video itu," kata Bissouma dalam satu kenyataan pada hari Isnin.

"Saya faham betapa seriusnya perkara ini dan risiko kesihatan yang terlibat, dan saya juga mengambil tanggungjawab sebagai pemain bola sepak dengan serius."

Jurucakap Tottenham menambah: "Kami sedang menyiasat kejadian ini. Ia akan dikendalikan sebagai siasatan dalaman."

Gas ketawa boleh digunakan untuk tujuan yang sah, seperti dalam bidang katering atau untuk melegakan kesakitan semasa bersalin.

Bissouma menyertai Tottenham dari Brighton pada 2022 dan telah membuat 56 penampilan untuk kelab itu, termasuk 26 kali sebagai pemain utama sepanjang kempen 2023/24.

Dia bermain selama 45 minit dalam perlawanan persahabatan Tottenham menentang Bayern Munich pada hari Sabtu sebagai persediaan terakhir sebelum musim Liga Perdana bermula di Leicester pada 19 Ogos.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE