PARIS, 10 Ogos- Beatrice Chebet dari Kenya menambah kilauan emas pada penampilannya di Olimpik Paris selepas mengungguli acara 10,000 meter wanita pada Jumaat.
Kejayaan itu hadir beberapa hari selepas atlet berusia 24 tahun berkenaan meraih gelaran juara untuk acara 5,000m sekali gus menghancurkan harapan juara bertahan, Sifan Hassan.
Chebet, yang membuat penampilan Olimpik pertamanya, mencatat masa kemenangan 30 min 43.25 untuk menang pingat emas manakala Nadia Battocletti dari Itali meraih perak dengan memperbaharui rekod negaranya 30:43.35, manakala Hassan melengkapkan podium di kedudukan ketiga.
Ini merupakan gangsa kedua Hassan dalam temasya di Paris selepas turut mendapat tempat ketiga dalam acara 5,000m.
Chebet telah memecahkan rekod dunia dalam acara 25 pusingan lebih awal musim ini, dengan catatan menakjubkan 28:54.14 di Eugene untuk menjadi wanita pertama yang melampaui had 29 minit.
Kemenangannya di Paris meninggalkan Hassan dengan peluang terakhir pada maraton hari Ahad sebagai satu-satunya peluang untuk pulang dari Perancis dengan emas.
"Untuk melakukan acara 5,000m dan 10,000m bukanlah sesuatu yang mudah," kata Chebet, menambah bahawa strateginya adalah "hanya fokus, dan tahu bahawa anda boleh mencapainya. Hanya percaya pada diri sendiri."
"Saya percaya bahawa saya boleh melakukannya. Saya hanya mahu memenangi 10,000m untuk negara saya. Negara saya belum pernah memenangi pingat emas (dalam 10,000m wanita). Jadi saya kata saya mahu menjadi wanita pertama yang memenangi pingat emas dalam 10,000m."- AFP