fb fb fb fb fb

AC Milan hidupkan peluang beraksi di Eropah

Penjaga gol AC Milan, Mike Maignan dibawa keluar dari padang selepas mengalami kecederaan. / Foto REUTERS

MILAN, 12 April – AC Milan mengekalkan harapan untuk layak ke pertandingan Eropah musim depan selepas mencatat kemenangan bergaya 4-0 ke atas Udinese,

Rafael Leao membuka tirai jaringan buat Milan, diikuti Strahinja Pavlovic, Theo Hernandez dan Tijjani Reijnders yang turut mencatat nama sebagai penjaring.

Kemenangan tersebut mengekalkan Milan di tangga kesembilan, namun hanya empat mata di belakang Lazio yang kini berada di kedudukan keenam iaitu posisi kelayakan ke Liga Konferensi Eropah dan bakal berdepan Roma pada Ahad.

Namun AC Milan berdepan detik cemas selepas penjaga golnya, Mike Maignan terpaksa diusung keluar akibat perlanggaran dengan rakan sepasukan, Alex Jimenez.

Insiden membabitkan Maignan berlaku enam minit selepas separuh masa kedua bermula. Beliau bergegas keluar dari gawang untuk menghalang serangan tetapi secara tidak sengaja melanggar kepala Jimenez.

Milan dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Maignan berada dalam keadaan "sedar" dan telah dibawa ke hospital bagi menjalani ujian lanjut.

Jimenez bagaimanapun mampu meneruskan permainan, manakala Maignan kelihatan memegang kepalanya dan kelihatan kesakitan ketika dibawa keluar dari padang dengan sorakan penghargaan daripada penyokong tuan rumah di Stadium Bluenergy, Udine.

Ironinya, hanya beberapa minit sebelum itu, sekumpulan besar penyokong Udinese mengejek Maignan dan melaungkan kata-kata kesat terhadap penjaga gol berusia 29 tahun itu.

Pada Januari tahun lalu, Maignan menjadi mangsa ejekan berunsur perkauman oleh segelintir penyokong Udinese dalam perlawanan di lokasi yang sama.

Susulan kejadian tersebut, pihak kelab berjaya mengenalpasti dan menjatuhkan hukuman larangan seumur hidup terhadap lima individu yang terbabit.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD