fb fb fb fb fb

MIC yakin BN kekal kuasai DUN Ayer Kuning

FOTO FACEBOOK Datuk Seri M Saravanan

TAPAH, 21 Mac- Barisan Nasional (BN) dijangka mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Parlimen Tapah, Perak dengan majoriti lebih besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 26 April depan.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan berkata keyakinan itu berdasarkan sambutan positif pengundi menerusi program-program kemasyarakatan yang dijalankan secara berkala di kawasan tersebut.

"Kalau kita lihat, semua parti dalam BN seperti MIC, MCA dan UMNO telah menjalankan aktiviti sepanjang tahun. Kita tak perlu mengadakan program khas hanya untuk pilihan raya kerana itu tidak jujur.

"Jika mereka (pihak lawan) hanya buat program khas ketika pilihan raya, selepas habis pilihan raya mereka akan lari.

"Berbeza dengan kita, aktiviti di Parlimen Tapah berlangsung secara berterusan dan bukan direka khas hanya untuk pilihan raya," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tapah menjelaskan bahawa pengundi luar terutama golongan pekerja dan muda dijangka menjadi penentu utama keputusan PRK DUN Ayer Kuning.

Saravanan ditemui pemberita selepas menghadiri Program Penyerahan Sumbangan Back To School di Pejabat Pendidikan Daerah Batang Padang di sini hari ini.

Hampir 2,000 beg sekolah disumbangkan kepada 39 sekolah rendah di Parlimen Tapah pada program itu.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah akibat serangan jantung pada 22 Februari lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 12 April, pengundian awal (22 April) dan hari pengundian (26 April) melibatkan 31,897 pemilih.

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA