fb fb fb fb fb

BN dijangka umum calon PRK Ayer Kuning pada 5 atau 6 April

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan

MAMBAU, 15 Mac - Barisan Nasional (BN) dijangka akan mengumumkan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN)  Ayer Kuning pada 5 atau 6 April depan.

Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pengumuman calon BN akan dibuat seminggu lebih awal daripada hari penamaan calon yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) iaitu pada 12 April.

Ia bagi membolehkan calon-calon dapat menyesuaikan diri dan dapat menyantuni masyarakat setempat.

"Dan pada kali ini kita akan menamakan calon awal satu minggu sebelum penamaan calon penamaan calon pada 12 hari bulan. Kita cuba buat majlis penamaan calon kita penamaan calon SPR pada 12 April. Kita mahu adakan majlis ringkas bagi menamakan calon kita pada 5 atau 6 hari bulan," kata Mohamad.

Tambahnya, Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak Datuk Seri Saarani Mohamad telah menyenarai pendek calon-calon yang difikirkan layak dan boleh mewakili parti.

PRK Ayer Kuning diadakan susulan kekosongan kerusi selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Allahyarham Ishsam Shahruddin, 58 tahun, yang meninggal dunia pada 22 Februari lalu selepas bermain bola sepak di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu, Allahyarham Ishsam Shahruddin yang mewakli BN menang dengan majoriti 2,213 undi dalam pertembungan lima penjuru.

Terdahulu, Mohamad telah menyampaikan sumbangan bakul makanan sempena Ramadan dan Aidilfitri 2025 kepada warga emas, ibu tunggal, asnaf dan anak yatim di Dewan Komuniti, Taman Kelab Tuanku, di sini.

TETITIA YUSOFF