fb fb fb fb fb

PRK Ayer Kuning 26 April, undi awal 22 April- SPR

Foto RTM

PUTRAJAYA, 7 Mac- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 April ini.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, menyatakan bahawa hari penamaan calon akan diadakan pada 12 April, manakala hari pengundian awal pula diadakan pada 22 April.

"Permohonan untuk kategori undi pos, sama ada untuk penghantaran luar atau dalam negara, telah dibuka mulai hari ini, 7 Mac 2025.

"Tempoh berkempen adalah selama 14 hari, bermula dari pengisytiharan rasmi calon sehingga pukul 11.59 malam pada 21 April.

"Menurut Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR), seramai 31,897 orang pemilih. PRK berkenaan memerlukan peruntukan sebanyak RM2.5 juta," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi membincangkan urusan dan tarikh penting berkaitan PRK DUN Ayer Kuning di Menara SPR di sini hari ini.

PRK berkenaan diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59 tahun, yang meninggal dunia pada 22 Februari akibat serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15, allahyarham mewakili Barisan Nasional (BN) telah memenangi kerusi tersebut dalam pertembungan lima penjuru dengan majoriti 2,213 undi.

Kerusi DUN Ayer Kuning telah menjadi kubu kukuh BN sejak lapan penggal lalu.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM