GEORGE TOWN, 22 Februari – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin, 59, disahkan meninggal dunia di Jabatan Kecemasan Hospital Pulau Pinang pada pukul 6.28 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Abdul Rozak Muhammad, mengesahkan perkara itu dalam satu kenyataan.
"Ishsam dilaporkan pengsan dan tidak sedarkan diri kira-kira pukul 5.20 petang ketika bersalaman dengan pemain lain di tepi padang sempena Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru Piala Ketua Menteri Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, George Town," katanya.
Allahyarham diberikan bantuan kecemasan sebelum dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang kira-kira 20 minit kemudian, namun disahkan meninggal dunia di hospital.
Allahyarham mewakili Barisan Nasional (BN) sejak November 2022 dan turut memegang jawatan sebagai Pengerusi BN Parlimen Tapah.
Selain itu, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Naib Presiden serta Penolong Pengurus skuad senior Perak FA.
Sebelum terjun ke dunia politik, Allahyarham merupakan bekas pemain bola sepak profesional dan pernah membantu Perak menjuarai Piala FA pertama kali pada tahun 1990.
Dianggap sebagai antara pemain tengah terhebat pada era 1980-an dan 1990-an, Allahyarham juga beberapa kali dipanggil mewakili skuad kebangsaan.