ALOR SETAR, 11 Mac- Pemuda UMNO telah menyerahkan calon tunggal kepada pucuk pimpinan tertinggi UMNO bagi mewakili Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Perak.
Ketuanya Datuk Dr Akmal Salleh berkata calon dikemukakan itu merupakan individu yang telah lama berkhidmat di kawasan berkenaan dan dikenali dalam kalangan masyarakat setempat.
Beliau bagaimanapun menyatakan keputusan akhir terpulang kepada kepimpinan parti, namun pihaknya telah bersedia sepenuhnya untuk membantu kempen pilihan raya tersebut.
"Kami mahu calon yang dekat di hati rakyat seperti yang terbukti dalam PRK Nenggiri (Kelantan) dan PRK Mahkota (Johor). Tiada siapa menjangka kemenangan itu, tetapi apabila kita beri calon yang bekerja lama di kawasan itu dan dikenali rakyat tempatan, peluang lebih cerah. Di Ayer Kuning, kami tidak meletakkan jangkaan tinggi, tetapi insya-Allah calon ini dekat di hati rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Pemuda Masuk Kampung Sempena Ramadan Zon Utara dan Majlis Berbuka Puasa di Dataran Medan Bandar di sini pada Isnin.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, 59, pada 23 Februari lalu akibat sakit jantung.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April depan, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal, masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April ini.
BERITA BERKAITAN
- PRK DUN Ayer Kuning: BN umum calon seminggu sebelum hari penamaan
- PRK Ayer Kuning 26 April, undi awal 22 April- SPR
- PRK Ayer Kuning: UMNO Perak senarai enam calon
- SPR terima pemakluman kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning
- BN kekalkan konsep 'WALI' bagi calon PRK Ayer Kuning
- ADUN Ayer Kuning, Ishsam Shaharudin selamat dikebumikan
- ADUN Ayer Kuning meninggal dunia selepas pengsan di padang