fb fb fb fb fb

BN kekalkan konsep 'WALI' bagi calon PRK Ayer Kuning

FOTO FACEBOOK Zahid Hamidi

ROMPIN, 26 Februari- Barisan Nasional (BN) akan mengekalkan konsep 'WALI' dalam pemilihan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning merangkumi kriteria 'winnable' (boleh menang), 'acceptable' (diterima) dan 'likeable' (disukai).

Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perbincangan lanjut akan dibuat bersama pucuk pimpinan parti di peringkat negeri Perak dan bahagian Tapah sebelum menyenarai pendek calon yang sesuai.

"Saya akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Perak dan Jawatankuasa Perhubungan Negeri serta kepimpinan bahagian Tapah untuk mengenal pasti calon berkaitan," katanya selepas merasmikan Kompleks Ladang Ayam Pedaging (sistem tertutup) Felcra Berhad di Tanjung Seratus di sini hari ini.

Mengulas sama ada calon akan dipilih dalam kalangan Pemuda UMNO, Ahmad Zahid menjelaskan semua peringkat kumpulan berpotensi, namun senarai hanya akan dimuktamadkan selepas proses saringan.

Beliau sebelum ini mengesahkan Notis Pemakluman Kekosongan Kerusi DUN Ayer Kuning telah diserahkan secara rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Isnin susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, 59, akibat serangan jantung ketika menyertai Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru di Stadium Bandaraya, Georgetown, Pulau Pinang, Sabtu lalu.

Sehubungan itu, PRK perlu diadakan memandangkan penggal DUN ke-15 Perak belum mencapai tempoh mandat tiga tahun.

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA