
KUALA LUMPUR, 7 Januari – Tourism Malaysia memeterai Memorandum Kerjasama (MOC) dengan syarikat dari Mongolia dalam usaha memperkukuh promosi pelancongan Malaysia serta menyokong pelaksanaan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
- Tourism Malaysia tandatangani MOC dengan syarikat Mongolia untuk kukuhkan promosi pelancongan Malaysia.
- Fokus kerjasama pada kempen promosi digital bersasar tingkatkan ketibaan pelancong Mongolia.
- Promosi menekankan ekopelancongan dan warisan budaya Malaysia.
- Kedua pihak setuju lakukan promosi bersama, pertukaran data dan pemudah cara perniagaan.
- Matlamat memperkukuh hubungan budaya dan menjadikan Malaysia destinasi pilihan pelancong Mongolia.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata, kerjasama itu memberi tumpuan kepada kempen promosi digital bersasar bagi meningkatkan ketibaan pelancong Mongolia.
“Antara yang diketengahkan ialah ekopelancongan dan warisan budaya.
“Kerjasama ini mencerminkan komitmen kami dalam memperbagaikan pasaran pelancong antarabangsa melalui pendekatan pemasaran inovatif dan kolaborasi strategik,” katanya.
Malaysia menyasarkan ketibaan 43 juta pelawat antarabangsa pada 2026, selari dengan prestasi sektor pelancongan yang mencatat 38.3 juta ketibaan dari Januari hingga November 2025.
Di bawah MOC tersebut, kedua-dua pihak akan melaksanakan promosi bersama, pertukaran data pelancongan serta pemudah cara perniagaan antara pemain industri.
Ia bagi memperkukuhkan hubungan budaya dan meletakkan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama pelancong Mongolia.