Teknologi kewangan jadikan pengurusan pelaburan lebih telus, mudah diakses

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Gambit Group, Datuk Clifford Hii

KUALA LUMPUR, 24 Mac– Perkembangan teknologi kewangan (FinTech) dan aset digital kini semakin mempengaruhi landskap pengurusan kekayaan, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada pelabur, khususnya dalam kalangan generasi muda.

RINGKASAN BERITA AI
  • Teknologi kewangan menjadikan pengurusan pelaburan lebih mudah diakses dan telus, membolehkan semakan portfolio dan perlindungan insurans dalam talian.
  • Aset digital masih baharu namun berkembang, sesuai dipertimbangkan sebagai elemen diversifikasi dalam portfolio pelaburan.
  • Kesedaran tentang perancangan kewangan dan pengurusan harta pusaka meningkat, tetapi jurang tindakan masih wujud; jangan tangguh perancangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Gambit Group, Datuk Clifford Hii berkata integrasi teknologi dalam sektor kewangan membantu menjadikan pengurusan pelaburan lebih mudah diakses dan telus kepada masyarakat umum.

“Teknologi kewangan menjadikan pengurusan kewangan lebih mudah diakses dan lebih telus kepada pasaran. Melaluinya, orang ramai boleh menyemak portfolio, pelaburan serta perlindungan insuran secara dalam talian dengan lebih mudah”.

“Pada masa sama, aset digital masih baharu, namun ia semakin berkembang terutamanya dalam kalangan pelabur muda yang ingin memasukkan elemen aset digital dalam portfolio pelaburan mereka,” katanya kepada pemberita.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai peningkatan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan perancangan kewangan dan pengurusan harta pusaka.

Bagaimanapun, menurutnya, masih wujud jurang yang ketara antara tahap kesedaran dengan tindakan yang diambil.

Tambah beliau, meskipun golongan muda kini mudah memperoleh maklumat kewangan melalui media sosial, ramai yang masih beranggapan bahawa mereka terlalu awal untuk memulakan perancangan aset.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa perancangan kewangan dan pengurusan aset tidak seharusnya ditangguhkan bagi mendepani sebarang kemungkinan di masa hadapan.