
KUALA LUMPUR, 11 Jun – Sebanyak 10 hingga 20 syarikat Bumiputera generasi baharu berpotensi tinggi dikenal pasti untuk dibimbing dan disiapkan ke arah penyenaraian di Pasaran ACE serta Pasaran Utama Bursa Malaysia.
- PuTERA35 menekankan pemerkasaan ekonomi Bumiputera secara mampan dan berdaya saing.
- Kerajaan komited memperkukuh ekosistem Bumiputera melalui penciptaan nilai, akses pelaburan swasta, pengukuhan pasaran modal dan peluasan pasaran serantau.
- Pasaran saham kekal berdaya saing dengan IPO berterusan dan keyakinan pelabur kukuh walau berdepan cabaran global.
Ia selaras dengan aspirasi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) yang menekankan pemerkasaan ekonomi Bumiputera secara mampan dan berdaya saing.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, usaha itu mencerminkan komitmen kerajaan memperkukuh ekosistem Bumiputera melalui penciptaan nilai, peningkatan akses pelaburan swasta, pengukuhan pasaran modal dan peluasan ke pasaran serantau.
“Kerajaan melihat potensi besar untuk membangunkan ekosistem syarikat Bumiputera secara lebih meluas, bukan hanya dari segi pemilikan, tetapi juga kualiti dan keupayaan untuk bersaing ke peringkat lebih tinggi.
Sehubungan itu, agensi berkaitan telah diberikan amanah untuk mengenal pasti syarikat berpotensi bagi dibangunkan. Pada masa sama, walaupun berdepan cabaran global seperti isu tenaga dan gangguan rantaian bekalan, pasaran saham negara masih kekal berdaya saing. Ini dapat dilihat melalui penyenaraian baharu atau IPO yang terus berlaku sepanjang tahun 2026,”katanya selepas menghadiri sesi jaringan perniagaan bersama 13 syarikat Bumiputera di ibu negara, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Akmal memaklumkan sebanyak 30 syarikat telah melaksanakan penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) setakat tahun ini.
Meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi serta cabaran geopolitik global.
Pada tahun lalu, sebanyak 60 syarikat berjaya disenaraikan di Bursa Malaysia.
Jelasnya, pencapaian tersebut membuktikan konflik bekalan tenaga dan gangguan rantaian bekalan global ketika ini tidak menjejaskan daya saing pasaran saham negara.
Tambah beliau, keyakinan pelabur terhadap Malaysia terus kukuh, didorong oleh asas ekonomi yang stabil serta konsistensi negara dalam menarik pelaburan asing dan domestik sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Ia disokong oleh pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama yang mencatatkan kadar 5.4 peratus, kadar pengangguran rendah pada 2.9 peratus serta inflasi terkawal pada 1.9 peratus.
Beliau turut menegaskan, Malaysia tidak seharusnya melihat krisis sebagai cabaran semata-mata, sebaliknya perlu memanfaatkannya sebagai peluang untuk membuka ruang pertumbuhan baharu, khususnya kepada pemain industri tempatan.