Risiko gangguan bekalan masih terkawal, ekonomi kekal di landasan pertumbuhan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Usaha kerajaan memastikan bekalan bahan api dan rantaian bekalan kekal terjamin dijangka terus menyokong aktiviti pengeluaran dalam tempoh terdekat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Risiko gangguan bekalan kekal terkawal menurut semakan industri, tanpa tanda gangguan meluas merentasi sektor utama.
  • Firma telah mempelbagaikan pembekal dan destinasi eksport, mengurangkan kebergantungan pada sumber bekalan tunggal.
  • Apex mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK 2026 pada 4.7 peratus; konflik Asia Barat dijangka beransur reda suku ketiga.
  • Dasar sokongan seperti subsidi RON95, diesel, SARA, STR dan Jualan Rahmah terus menyokong perbelanjaan isi rumah dan permintaan domestik.

Apex Securities Bhd menerusi nota penyelidikannya memaklumkan, selain penampan inventori sedia ada usaha mempelbagaikan pembekal serta inisiatif kerajaan bagi melindungi bekalan bahan api dan rantaian bekalan dijangka membantu mengurangkan sebarang potensi gangguan.

“Semakan kami dengan pihak industri menunjukkan risiko gangguan bekalan masih terkawal setakat ini, tanpa tanda-tanda gangguan meluas merentasi sektor-sektor utama.

”Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Buletin Suku Tahunan untuk suku pertama 2026 memaklumkan,perniagaan kini mempunyai inventori yang mencukupi untuk tempoh purata antara tiga hingga empat bulan,'” menurut nota penyelidikan itu.

Apex Securities turut mendapati, firma berkaitan juga telah mempelbagaikan pembekal dan destinasi eksport, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sumber bekalan tunggal.

Sementara itu, Apex Securities mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2026 pada 4.7 peratus, dengan menjangkakan konflik di Asia Barat akan beransur reda pada suku ketiga 2026.

Ia sejajar dengan senario asas BNM yang mengandaikan penutupan sementara Selat Hormuz sehingga akhir Ogos.

“Berdasarkan petunjuk daya tahan rantaian bekalan dalam tempoh terdekat, kami tidak menjangkakan konflik semasa akan menjejaskan aktiviti pengeluaran domestik secara material atau mengganggu momentum pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan.

”Pertumbuhan ekonomi turut dijangka disokong oleh eksport produk elektrik dan elektronik (E&E) serta perkhidmatan berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang kekal berdaya tahan, selain permintaan domestik yang stabil,” tambah nota penyelidikan itu.

Langkah sokongan dasar sedia ada, termasuk penerusan subsidi bersasar RON95 dan diesel serta bantuan berkaitan pendapatan seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan program Jualan Rahmah juga dijangka terus menyokong perbelanjaan isi rumah.

Susulan prestasi KDNK suku pertama 2026 yang melebihi jangkaan, pertumbuhan ekonomi dijangka kekal mampan pada suku-suku berikutnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.