
KUALA LUMPUR, 11 Jun – Pasaran buruh negara terus menunjukkan pertumbuhan sederhana pada April, mencerminkan perkembangan ekonomi yang stabil.
- Jumlah tenaga buruh meningkat 0.1% kepada 17.33 juta orang pada April 2026.
- Bilangan penduduk bekerja naik 0.1% kepada 16.82 juta; 75% adalah pekerja, bekerja sendiri meningkat 0.2% kepada 3.15 juta.
- Sektor perkhidmatan terus jadi penyumbang utama, manakala pembuatan, pembinaan, pertanian dan perlombongan turut merekodkan pertumbuhan positif.
- Kadar pengangguran meningkat kepada 3.0% dengan 511,800 penganggur; prospek positif, tetapi risiko tenaga global, geopolitik dan permintaan luaran boleh menjejaskan.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah tenaga buruh naik 0.1 peratus kepada 17.33 juta orang berbanding 17.31 juta orang pada Mac 2026.
”Sebaliknya, kadar penyertaan tenaga buruh kekal tidak berubah iaitu pada 70.9 peratus, sama seperti bulan sebelumnya,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), hari ini.
Sementara itu, bilangan penduduk bekerja terus meningkat pada April 2026, bertambah sebanyak 0.1 peratus kepada 16.82 juta orang berbanding bulan sebelumnya 16.80 juta orang.
Jelasnya, 75 peratus daripada jumlah itu, didominasi kategori pekerja, manakala bilangan bekerja sendiri terus menunjukkan trend peningkatan dengan meningkat 0.2 peratus kepada 3.15 juta orang berbanding bulan sebelumnya.
Mengikut sektor ekonomi, perkhidmatan kekal sebagai penyumbang utama dengan majoritinya terlibat dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit; aktiviti penginapan dan perkhidmatan makanan dan minuman; serta maklumat dan komunikasi.
Bilangan penduduk bekerja dalam sektor pembuatan, pembinaan, pertanian, serta perlombongan dan pengkuarian turut merekodkan pertumbuhan positif pada bulan tersebut.
”Untuk tempoh akan datang, prospek ekonomi dan pasaran buruh Malaysia dijangka kekal positif dalam jangka masa terdekat, disokong oleh asas ekonomi domestik yang kukuh, momentum pelaburan yang berterusan serta pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan.
”Bagaimanapun, ketidaktentuan yang berpunca daripada krisis tenaga global, perkembangan geopolitik dan kedudukan permintaan luaran dijangka akan terus mempengaruhi momentum pertumbuhan ekonomi serta prestasi pasaran buruh.
”Usaha memperkukuh keyakinan perniagaan, meningkatkan kebolehsuaian tenaga kerja dan merangsang pertumbuhan produktiviti akan terus memainkan peranan penting dalam memastikan ekonomi dan pasaran buruh negara kekal berdaya tahan,” katanya.
Dalam pada itu, kadar pengangguran pada April 2026 meningkat kepada 3.0 peratus dengan merekodkan bilangan penganggur seramai 511,800 orang.
Kadar pengangguran pada bulan tersebut naik 0.1 mata peratus dari 2.9 peratus pada Mac.