
KUALA LUMPUR, 11 Jun- Industri automotif dan mobiliti Malaysia berpotensi menjadi hab serantau susulan kekuatan ekosistem industri serta dasar kerajaan yang menyokong pembangunan berasaskan teknologi dan nilai tinggi.
- Pembangunan mobiliti baharu mesti diseimbangkan dengan keselamatan jalan raya agar teknologi memberi manfaat menyeluruh kepada pengguna.
- Utamakan sistem bantuan pemandu canggih, saling hubung kenderaan, penguatkuasaan berasaskan data dan reka bentuk kenderaan yang lebih selamat.
- Kerjasama kerajaan, industri, akademia dan pemain teknologi penting untuk memastikan transformasi sektor mobiliti dilaksanakan secara berkesan.
- KLIMS 2026 menjadi platform strategik menghimpunkan pemain industri, pembuat dasar dan inovator untuk memperkukuh ekosistem mobiliti negara.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata Malaysia berada pada kedudukan strategik untuk menerajui pembangunan mobiliti generasi baharu di rantau ASEAN hasil asas industri yang kukuh serta hala tuju dasar yang jelas.
“Kita mempunyai ekosistem automotif yang kukuh, tenaga kerja mahir yang semakin berkembang, jaringan strategik dalam ASEAN serta hala tuju dasar yang jelas untuk menyokong penyelesaian mobiliti yang mampan, berasaskan teknologi dan bernilai tinggi,” katanya ketika merasmikan Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 (KLIMS 2026) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.
Beliau berkata pembangunan mobiliti baharu perlu diseimbangkan dengan aspek keselamatan jalan raya bagi memastikan kemajuan teknologi memberi manfaat menyeluruh kepada pengguna.
Menurutnya antara elemen penting termasuk sistem bantuan pemandu canggih, saling hubung kenderaan, penguatkuasaan berasaskan data serta reka bentuk kenderaan yang lebih selamat.
Datuk Hasbi turut menegaskan kepentingan kerjasama antara kerajaan, industri, akademia dan pemain teknologi bagi memastikan transformasi sektor itu dapat dilaksanakan secara berkesan.
Dalam pada itu, beliau berkata penggunaan kenderaan elektrik (EV) mencatat peningkatan 113.7 peratus pada suku pertama 2026 berbanding tempoh sama tahun lalu, didorong penawaran model baharu, harga kompetitif serta insentif kerajaan termasuk pengecualian duti import dan duti eksais bagi EV tertentu.
KLIMS 2026, katanya, bukan sekadar pameran automotif sebaliknya platform strategik yang menghimpunkan pemain industri, pembuat dasar dan inovator teknologi dalam memperkukuh ekosistem mobiliti negara.
Acara berkenaan akan berlangsung selama 10 hari bermula 12 hingga 21 Jun 2026 di MITEC, Kuala Lumpur.