
KUALA LUMPUR, 24 Mei -Ringgit dijangka diniagakan dalam julat kecil antara RM3.95 hingga RM3.97 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan susulan tempoh dagangan yang lebih singkat.
- Fokus pasaran minggu depan tertumpu pada data inflasi perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE) AS bagi April.
- PCE dijangka berada pada paras agak tinggi susulan kenaikan harga petrol sepanjang April.
- Minggu dagangan singkat kerana cuti Aidiladha pada Rabu, menyumbang kepada pergerakan ringgit dalam julat terhad.
- Kedudukan makroekonomi Malaysia kekal kukuh walaupun ringgit susut dan diniagakan lebih rendah berbanding mata wang utama minggu ini.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata tumpuan pasaran minggu depan akan terarah kepada data inflasi perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE) AS bagi April.
“PCE nampaknya berkemungkinan berada pada paras agak tinggi dengan mengambil kira kenaikan harga petrol sepanjang April.
“Di samping itu, ia juga minggu dagangan yang singkat sempena cuti Aidiladha pada Rabu. Sehubungan itu, ringgit dijangka kekal diniagakan dalam julat kecil,” katanya
Bagaimanapun, jelasnya, kedudukan makroekonomi Malaysia kekal kukuh meskipun ringgit dijangka bergerak dalam julat terhad.
Pada penutup dagangan Jumaat, ringgit susut berbanding dolar AS kepada 3.9655/9700 daripada 3.9515/9580 pada minggu sebelumnya.
Unit tempatan itu turut diniagakan rendah berbanding kebanyakan mata wang utama sepanjang minggu ini.