
KUALA LUMPUR, 24 Mei – Majlis Amanah Rakyat (MARA) menerusi sektor pelaburannya kini meneroka industri kredit karbon sebagai sebahagian daripada inisiatif baharu agensi itu dalam memperkukuh portfolio pelaburan strategik.
- Penubuhan PMB Sustainable Sdn Bhd sebagai subsidiari Pelaburan MARA Berhad fokus industri kredit karbon.
- Inisiatif selari perkembangan global kerana banyak negara memberi tumpuan kepada kredit karbon sebagai industri masa depan.
- Potensi sumber ekonomi baharu dan menyokong kelestarian melalui pengurangan pelepasan karbon.
- MARA mahu manfaatkan peluang TBB dan EV tetapi mengekalkan tumpuan utama pada perniagaan teras pendidikan.
Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman berkata, langkah itu dilaksanakan melalui penubuhan PMB Sustainable Sdn Bhd, sebuah syarikat subsidiari di bawah Pelaburan MARA Berhad yang memfokuskan sepenuhnya kepada industri berkenaan.
Beliau berkata, penerokaan dalam kredit karbon adalah selari dengan perkembangan global berikutan banyak negara luar kini mula memberi tumpuan kepada sektor terbabit sebagai antara industri masa depan.
“Kita tahu sekarang ini di negara-negara luar pun semua dah masuk dalam bidang ini dan saya kira di Malaysia ini anak syarikat MARA di bawah pelaburan Mara Berhad.
“Ini adalah antara syarikat yang pertama di negara kita untuk bergiat di dalam industri ini. Walaupun di negara kita ini masih agak terlalu awal tapi kita menjadi yang paling awal untuk buat perkara itu,” katanya kepada RTM, baru-baru ini.
Penerokaan dalam industri kredit karbon itu dilihat berpotensi menjadi sumber ekonomi baharu, selain menyokong usaha kelestarian alam sekitar melalui pengurangan pelepasan karbon.
Konsep kredit karbon memberi nilai kepada pihak atau syarikat yang berjaya mengurangkan pelepasan karbon melalui inisiatif seperti pemuliharaan hutan, penggunaan tenaga bersih dan projek lestari.
Mengulas lanjut, Zulfikri berkata, sektor pelaburan MARA yang sebahagian besar anak syarikatnya beroperasi di bawah MARA Corporation, bertindak sebagai sayap perniagaan agensi tersebut dengan pelbagai strategi sedang dirancang termasuk pembangunan hartanah dan bidang kelestarian.
Ditanya mengenai kemungkinan MARA mengembangkan sayap ke sektor tenaga boleh baharu (TBB) dan kenderaan elektrik (EV), beliau tidak menolak potensi pasaran tersebut namun menegaskan fokus utama agensi berkenaan tidak akan tersasar.
“Ya itu memang ada tetapi MARA ini sebenarnya kita punya perniagaan teras adalah pendidikan,” katanya.