REHDA sokong Dasar Perumahan Negara, mahu peralihan STB-BTS dikaji

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 Ogos Dasar Perumahan Negara (DRN) 2026-2035 yang dilancarkan pada Isnin, merupakan kerangka penting dalam menentukan hala tuju sektor perumahan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • REHDA menyokong DRN dan penekanan perancangan perumahan berasaskan data untuk menyediakan rumah berkualiti, mampu milik dan mampan.
  • Peralihan STB kepada BTS perlu dikaji teliti kerana impak terhadap kos pegangan, pembiayaan, aliran tunai, harga rumah dan bekalan.
  • Sebarang perubahan harus dilaksanakan berperingkat, disokong mekanisme pembiayaan dan kawal selia serta libat urus dengan pemaju dan institusi kewangan.

Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Malaysia, Datuk Zaini Yusoff berkata, tema “Pemerkasaan Kemanusiaan dalam Perumahan” adalah selari dengan pendirian persatuan bahawa perumahan bukan sekadar pembinaan struktur.

Sebaliknya, ia turut merangkumi penyediaan kediaman yang berkualiti, mampu milik, selesa didiami dan mampan untuk rakyat.

Katanya, REHDA turut menyambut baik penekanan DRN terhadap perancangan perumahan berasaskan data, termasuk penggunaan analitik data raya.

“REHDA sejak sekian lama memperjuangkan penubuhan sistem data perumahan yang komprehensif dan berpusat, yang tepat serta dapat memberikan gambaran permintaan mengikut lokasi secara tepat pada masanya.

“Data yang lebih baik akan membolehkan sektor awam dan swasta membuat keputusan yang lebih tepat, khususnya dalam memastikan rumah mampu milik disediakan di lokasi dan harga yang tepat serta berdasarkan permintaan sebenar, di samping mengurangkan ketidakpadanan antara bekalan dan permintaan serta unit tidak terjual,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, REHDA berpandangan beberapa langkah dalam DRN perlu dikaji secara teliti dan dilaksanakan menerusi libat urus bersama industri.

Ini khususnya cadangan berhubung peralihan daripada sistem Jual Kemudian Bina (Sell-Then-Build – STB) kepada sistem Bina Kemudian Jual (Build-Then-Sell – BTS) antara 2027 hingga 2035.

“Sebarang perubahan asas terhadap sistem penyampaian perumahan perlu mengambil kira implikasinya terhadap keseluruhan proses pembangunan perumahan, termasuk kos pegangan, pembiayaan, aliran tunai, harga rumah dan bekalan.

“Ini amat penting khususnya bagi pemaju kecil dan sederhana yang mungkin tidak mempunyai kapasiti kewangan untuk membiayai keseluruhan pembangunan sehingga siap,” katanya.

Menurut Datuk Zaini, sistem STB yang digunakan secara meluas telah berjaya menyiapkan lebih 6.5 juta unit rumah.

Sehubungan itu, sistem STB wajar terus dilaksanakan bersama BTS sekiranya sistem itu diperkenalkan.

Tambah beliau, sebarang peralihan perlu dilakukan secara berperingkat, disokong oleh mekanisme pembiayaan dan kawal selia yang bersesuaian serta dilaksanakan menerusi rundingan dengan pemaju, institusi kewangan dan pihak berkepentingan lain.

Langkah itu penting bagi memperkukuh perlindungan pembeli, tanpa menyebabkan peningkatan kos perumahan atau mengekang bekalan rumah.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.