
KUALA LUMPUR, 7 Julai – Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu memperkukuh ketahanan operasi dengan mengenal pasti serta mengurus risiko rantaian bekalan lebih awal, di samping Malaysia memanfaatkan perubahan landskap ekonomi global bagi meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai, kata Penyelidik Kanan, South-East Asian Futures Initiative Centre (SEAFIC), Dr Mikhail Rosli.
- Perkuat ketahanan negara dan perniagaan untuk menghadapi krisis berkepanjangan.
- Kurangkan pergantungan pada satu sumber bekalan; kenal pasti dan urus risiko rantaian bekalan.
- Manfaatkan peluang China Plus One untuk tarik pelaburan berkualiti dan bina kemahiran, bukan sekadar pemasangan.
Beliau berkata Malaysia mempunyai daya tahan untuk menghadapi krisis semasa, namun kecekalan negara untuk berdepan krisis yang lebih berpanjangan perlu terus diperkukuh.
Menurutnya, syarikat tidak lagi boleh bergantung kepada satu sumber bekalan kerana keadaan itu meningkatkan tahap pendedahan kepada risiko sekiranya berlaku gangguan rantaian bekalan global.
“Syarikat perlu memastikan dan memetakan risiko dalam perniagaan masing-masing. Kita perlu beralih daripada hanya memberi tumpuan kepada kecekapan kepada membina perniagaan yang lebih cekal bagi menghadapi cabaran masa depan,” katanya kepada pemberita selepas program Biz Malaysia, di Angkasapuri Kota Media.
Dalam pada itu, Dr Mikhail berkata perubahan strategi syarikat global menerusi fenomena ‘China Plus One’ susulan ketidaktentuan geopolitik membuka peluang kepada Malaysia menarik lebih banyak pelaburan berkualiti.
“Perkara yang kita perlu manfaatkan dalam peluang ini ialah memastikan Malaysia tidak menjadi tempat memasang barang sahaja. Kita perlu bergerak naik dalam rantaian nilai.
“Prinsipnya mudah, kita perlu memastikan bukan sahaja produk dan kilang dibawa masuk ke Malaysia, tetapi juga kemahiran kerana itulah kunci kepada ekonomi yang lebih maju dan berdaya saing,” katanya.