Pertumbuhan KDNK 6% bukti ekonomi Malaysia kekal kukuh – Akmal Nasrullah

Foto Akmal Nasrullah Mohd Nasir

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Ekonomi Malaysia kekal kukuh apabila Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berkembang 6.0 peratus pada suku kedua 2026, berbanding 5.4 peratus pada suku pertama.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertumbuhan mesti diterjemah kepada peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan dan pengurusan kos sara hidup untuk manfaat rakyat.
  • Sokongan pertumbuhan disokong permintaan domestik, eksport elektrik dan elektronik serta perkembangan sektor perkhidmatan dan pembuatan.
  • RMK13 akan dipercepatkan untuk tingkatkan produktiviti, tarik pelaburan berkualiti dan kembangkan pembangunan bakat.
  • MTEN terus memantau ekonomi, menjamin bekalan, mengekang kenaikan harga dan menangani risiko luaran terhadap perniagaan dan isi rumah.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata prestasi itu menunjukkan momentum pertumbuhan ekonomi negara masih baik meskipun berdepan persekitaran global yang mencabar.

“Alhamdulillah, KDNK suku kedua 2026 menunjukkan angka 6.0 peratus, bermaksud momentum pertumbuhan itu masih baik.

“Tetapi angka itu perlu dilihat bersama dengan keadaan sebenar yang dihadapi oleh rakyat. Pertumbuhan yang baik seharusnya mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan serta daripada segi menguruskan kos sehari hidup,” katanya menerusi perkongsian video kepada RTM.

Pertumbuhan itu menjadikan ekonomi negara berkembang 5.7 peratus bagi separuh pertama 2026, berbanding 4.5 peratus dalam tempoh sama tahun lalu.

Prestasi berkenaan disokong permintaan domestik yang kukuh, eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang menggalakkan serta pertumbuhan sektor perkhidmatan dan pembuatan.

Pasaran buruh kekal berdaya tahan, manakala kadar inflasi pada suku kedua 2026 berada pada 1.9 peratus.

Bagi memastikan momentum pertumbuhan dapat diteruskan, beliau berkata penstrukturan ekonomi menerusi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) akan terus dipercepat.

“Pada masa yang sama, penstrukturan ekonomi melalui RMK ke13 akan kita terus percepatkan, terutamanya dalam usaha untuk meningkatkan produktiviti, pelaburan berkualiti dan juga pembangunan bakat supaya pertumbuhan ekonomi benar-benar dapat menyokong peningkatan pendapatan rakyat dan juga kesejahteraan kita semua,” katanya.

Kerajaan melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) akan terus memantau perkembangan ekonomi dan mengambil langkah bersesuaian bagi menangani kesan perkembangan luaran terhadap rakyat dan sektor perniagaan.

Antara tumpuan MTEN ialah menjamin bekalan, memanjangkan tempoh bekalan, mengekang kenaikan harga serta memanfaatkan peluang ekonomi.

Bagi separuh kedua 2026, pertumbuhan ekonomi dijangka terus disokong permintaan domestik, pasaran buruh yang stabil, perbelanjaan isi rumah, aktiviti pelancongan serta permintaan global terhadap produk E&E.

Kerajaan pada masa sama akan terus memberi perhatian kepada risiko luaran, termasuk ketegangan geopolitik di Asia Barat yang boleh memberi kesan terhadap harga tenaga, kos logistik dan rantaian bekalan.

Bagi memperkukuh daya tahan ekonomi, kerajaan akan terus mempelbagaikan sumber bekalan strategik, memperkukuh hubungan perdagangan dan meningkatkan keupayaan industri domestik.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.