
KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Permohonan pelaburan baharu akan disemak semula bagi memastikan aktiviti yang dibawa masuk mampu menyumbang kepada ekonomi negara.
- Beberapa syarikat hanya menggunakan gudang dan aktiviti transit tanpa memberi manfaat pekerjaan atau penggunaan produk tempatan.
- MITI memaklumkan kerajaan tentang syarikat yang hanya menggunakan gudang; tindakan penghentian dan penguatkuasaan sedang dijalankan.
- Perdana Menteri menyeru usahawan digital dan pengurusan platform media sosial mengemukakan cadangan penambahbaikan untuk perkukuh ekosistem tempatan.
- Cadangan munasabah akan dinilai untuk pertimbangan Kabinet dan Belanjawan 2027; kerajaan MADANI sedia sokong idea tingkatkan daya saing digital dan peluang belia.
Jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu dibuat selepas beberapa syarikat dikesan hanya menggunakan kemudahan gudang dan aktiviti transit tanpa memberi manfaat kepada peluang pekerjaan dan penggunaan produk tempatan.
“Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memaklumkan kepada kerajaan tentang kehadiran beberapa syarikat yang menggunakan gudang tetapi tidak menyediakan sebarang kelebihan, baik dari segi pekerjaan mahupun manfaat ekonomi.
“Kita telah menghentikan aktiviti tersebut, tetapi kita perlu menyemak semula pemohon baharu,” katanya.
Beliau menyatakannya ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan TikTok Shop 2026 di ibu negara, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan sudah menjalankan pemantauan dan pegawai penguat kuasa turut mula mengambil tindakan berkaitan perkara berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri menyeru usahawan digital dan pihak pengurusan platform media sosial mengemukakan cadangan penambahbaikan atau inisiatif yang mampu memperkukuh ekosistem perniagaan digital tempatan.
Menurutnya, cadangan yang munasabah dan berpotensi memberi manfaat akan dinilai untuk dibawa ke peringkat Kabinet, termasuk bagi pertimbangan dalam Belanjawan 2027.
“Kerajaan MADANI bersedia memberi dukungan terhadap idea baharu yang boleh membantu meningkatkan daya saing sektor digital serta membuka lebih banyak ruang kepada golongan muda untuk berniaga,” jelasnya.