Pengekalan OPR sokong pembiayaan isi rumah dan pengembangan perniagaan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 8 September – Pengekalan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus dijangka terus menyediakan persekitaran kadar pembiayaan yang kondusif, sekali gus menyokong permintaan pinjaman isi rumah dan pembiayaan pengembangan perniagaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kadar semasa sesuai dengan momentum ekonomi dan memberi ruang kepada isi rumah serta perniagaan membuat keputusan pembiayaan pada kos tidak terlalu tinggi.
  • Jika keyakinan perniagaan meningkat, lebih banyak pembiayaan boleh digunakan untuk pelaburan dan pengembangan kapasiti perniagaan.
  • Keputusan mendapatkan pinjaman dipengaruhi pendapatan, kuasa beli dan prospek permintaan, bukan kadar faedah semata-mata; tiada keperluan mendesak menurunkan kadar sekarang.

Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kadar semasa masih sesuai dengan momentum ekonomi negara yang kekal kukuh, selain memberi ruang kepada isi rumah dan perniagaan membuat keputusan pembiayaan pada kos yang tidak terlalu tinggi.

“Kalau ekonomi terus berkembang kukuh, OPR pada 2.75 peratus ini boleh membantu mengekalkan momentum pinjaman.

“Jika keyakinan perniagaan juga meningkat, kita boleh melihat lebih banyak pembiayaan untuk pelaburan dan juga mengembangkan kapasiti perniagaan itu sendiri”, katanya kepada RTM.

Bagaimanapun, beliau berkata keputusan isi rumah dan syarikat untuk mendapatkan pinjaman turut bergantung kepada pendapatan, kuasa beli serta prospek permintaan dan keyakinan terhadap ekonomi, bukan kadar faedah semata-mata.

Menurutnya, buat masa ini tiada keperluan mendesak untuk menurunkan OPR memandangkan pertumbuhan ekonomi masih mampan dan tekanan inflasi kekal terkawal.

“Sekiranya pertumbuhan mula perlahan dan tekanan inflasi kekal terkawal, penurunan OPR boleh menjadi salah satu instrumen untuk merangsang pinjaman, pelaburan dan juga perbelanjaan pengguna.

“Tetapi buat masa ini saya lihat pendirian Bank Negara ke atas OPR 2.75 peratus masih sesuai dan seimbang antara menyokong pertumbuhan serta memastikan kestabilan harga.”

Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) pada 3 September lalu mengekalkan OPR pada 2.75 peratus, kadar yang sama sejak Julai 2025.

Ekonomi Malaysia berkembang 5.7 peratus pada separuh pertama 2026, manakala inflasi bagi tujuh bulan pertama tahun ini mencatat purata 1.8 peratus.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.